Thursday, 7 August 2014

ISU SIKAP IBU BAPA DAN MASYARAKAT

Ehsan Google Images
 Dalam meniti arus zaman teknologi pada masa kini,sikap bersopan-santun dalam masyarakat Malaysia kian meluntur khususnya dalam golongan muda. Tidak hairanlah ada sahaja artikel mengenai isu ini hangat diperkatakan di dada-dada akhbar dan majalah. Setiap apa yang berlaku pastinya ada sahaja penyebabnya.Sikap ini terjadi akibat oleh kemajuan dan kemodenan teknologi yang kian pesat.Hal ini menyebabkan anak-anak muda lebih meengabaikan kepentingan bersantun  dalam masyarakat.Selain itu, masalah ini juga berlaku oleh pengaruh media massa yang kian meluas.Lihat sahaja filem-filem di layar perak kita yang lebih berunsurkan lucah dan ganas.Pastinya ini akan meracuni pemikiran manusia khususnya golongan kanak-kanak yang masih belum boleh berfikir secara matang.Walaupun begitu,kita seharusnya tidak menuding jari kepada mana-mana pihak kerana sikap ini tentunya tidak ada kesudahan dan penyelesaian.Apa yang diperlukan adalah tindakan yang proaktif dan efektif.Oleh itu,di sini kita dapat melihat peranan ibu bapa dan masyarakat yang boleh memainkan peranan yang sangat besar dan penting dalam membudayakan sikap bersopan-santun dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ibu bapa

Ibu bapa merupakan pendidik terawal dalam kehidupan setiap insan. Sejak seawal bayi sehingga mengenal abjad ABC dan angka 123, setiap gerak-geri,pertuturan, amalan dan tingkah-laku mereka menjadi ikutan anak-anak mereka. Oleh hal yang demikian, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk dan menyemai amalan kesantunan berbahasa dalam diri kanak-kanak. Ibu bapa haruslah mendidik anak-anak mereka dengan kasih sayang. Menyebut perkataan 'kasih sayang', pastinya ada yang menganggap memukul, menengking, atau memalukan anak-anak di hadapan orang ramai  sebagai suatu didikan yang dibolehkan atas dasar perasaan kasih sayang ini. Pada rasional hati sememangnya hati akan berkata Ya, namun pernahkah kita menggunakan jangkauan akal fikiran kita implikasi-implikasi dalaman apabila kita melakukan sedemikian sebagai pedekatan untuk mengajar anak-anak?

      Menurut kajian yang telah dilakukan oleh Elizabeth Thompson Gershoff, seorang psikologis daripada National Centre for Children in Poverty Columbia University, kekerasan dalam mendidik kanak-kanak tidak mendatangkan apa-apa perubahan sikap terhadap mereka kerana mereka hanya bersikap baik ketika berada di hadapan ibu bapa dan kembali kepada kelakuan asal ketika ibu bapa mereka tidak mengawasi mereka. Selain itu, kajiannya juga mendapati bahawa kanak-kanak yang dididik dengan kekerasan akan menjadi seorang agresif, introvert, anti-sosial dan lebih cenderung menghidapi penyakit mental.

       Oleh sebab itu, ibu bapa disarankan untuk mempelbagaikan pendekatan dalam mendidik anak-anak mereka. Sebagai contoh, dari aspek kesantunan berbahasa, jika seorang anak itu terkasar dengan orang lain, ibu bapa seharusnya menegurnya bukannya mengherdik mereka di hadapan orang ramai. Perbaiki kesilapan dan timbulkan kesedaran dalam hati mereka. Maka, dengan itu proses pembelajaran itu akan berlaku.


      Selain itu, ibu bapa juga boleh mendidik mereka dengan menjadi suri teladan kepada anak-anak mereka. Ibu bapa merupakan insan yang paling dekat dengan anak mereka. Oleh sebab itu, anak-anak lebih cenderung mencontohi segala perlakuan mereka. Pepatah Melayu ada mengatakan 'bagaimana acuan, begitulah kuihnya'. Ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik kepada anak mereka seperti bertutur dengan sopan, mengucapkan salam,  menggunakan kata panggilan dalam keluarga dan sebagainya. Cara ini juga mampu memberi kesan yang mendalam terhadap diri anak-anak.

      Seterusnya, ibu bapa juga haruslah  melibatkan anak-anak mereka dalam aktiviti-aktiviti sosial. Aktiviti sosial dimaksudkan adalah seperti gotong-royong, kerja-kerja amal, membersihkan kawasan taman permainan dan pelbagai lagi. Hal ini penting untuk memberikan pendedahan kepada anak-anak mengenai kepelbagaian budaya dan adat kesantunan berbahasa di sekitar mereka. Galakkan sebegini ada kewajarannya bagi membiasakan anak-anak dan mengelakkan kejutan budaya yang drastik lebih-lebih lagi apabila mereka telah melangkah ke alam dewasa kelak. Selain itu, hal ini juga penting dalam melibatkan anak-anak dalam kegiatan sosial yang baik dan membina.

      Selain daripada mendidik, ibu bapa juga haruslah sentiasa memantau pergaulan sosial anak-anak mereka seperti dengan siapa dia berkawan, latar belakang rakan-rakannya, dan apa yang mereka lakukan bersama. Meskipun pelbagai persoalan yang akan timbul seperti isu ibu bapa terlalu menjaga kain anak-anak mereka namun perlu disedari hal ini bukan atas dasar terlalu mengongkong tetapi inilah adalah satu tanggungjawab yang harus dipikul oleh mereka yang bergelar ibu dan bapa. Jika mereka bergaul dengan orang yang terpengaruh dengan gejala sosial, maka eloklah ibu bapa menegur mereka dengan cara baik dan elakkan mereka menjadi terlalu rapat. Namun jika mereka bergaul dengan mereka yang mempunyai akhlak yang baik dan bersahsiah, eloklah jika ibu bapa menyemai benih-benih persahabatan yang baik dalam diri mereka. Hal memilih kawan adalah penting kerana kawan mudah mempengaruhi.